Presiden PBSKN bersama dengan Cikgu Azmi (MAPIM) setelah selesai WACANA QARAR di Hotel Singgahsana,Pj. |
WACANA KEPIMPINAN
ISLAM & ISU SEMASA (PRU 13)
RESOLUSI (QARAR)
(14 April 2013)
RAKYAT DISARAN
PILIH KEPIMPINAN UNTUK TUBUH KERAJAAN YANG ADIL
1. Tanggungjawab mengundi dan amalan
demokrasi.
Kami berpendirian bahawa tanggungjawab
mengundi adalah proses umat mengguna ruang demokrasi yang diamalkan sekarang
dan ia perlu ditunaikan untuk memastikan kepentingan umat khususnya dan rakyat
amnya. Amalan pilihanraya perlu dimanfaatkan untuk menubuhkan sebuah kerajaan
yang adil dan bertanggungjawab.
Kami menyanggah pendapat
bahawa penglibatan umat Islam dalam proses demokrasi pilihanraya adalah
bertentangan dengan Islam. Para Ulama kontemporari dari Majma’ Fuqaha’ al-Dawli (مجمع فقهاء الدولي) yang dipimpin oleh Al-Allaamah
Sheikh Yusuf al-Qaradhawi memutuskan bahawa umat Islam hendaklah memanfaatkan amalan demokrasi yang
sebahagian besar ciri-cirinya adalah sesuai dengan Islam. Asas-asas demokrasi seperti
memelihara hak-hak perbedaan pendapat dan
bersuara, menjaga hak-hak asasi rakyat dan hak menubuhkan
parti-parti politik sehingga
terlaksananya proses pilihanraya umum. Ciri-ciri ini di lihat sebagai hampir dengan
konsep Syura yang mengutamakan al-Haq dan penerimaan oleh Jumhur sebagaimana yang dituntut oleh Islam. Hubungan
antara al-Haq dan penerimaan Jumhur adalah sangat sinonim di dalam Islam.
Rasulullah (s.a.w.) bersabda di dalam Hadithnya yang masyhor;
“Tidak mungkin umatku akan
bersatu di atas kebatilan”
Sedikit sebanyak kecacatan
sistem demokrasi yang wujud hendaklah
diperbaikki dan disesuaikan dengan tuntutan Islam terutamanya
mengutamakan al-Haq agar semua operasi pilihanraya bebas dari penipuan dan
penyelewengan yang kesemuanya itu melambangan kebatilan.
2. Memerangi
politik kotor
Kini kempen PRU 13 menunjukkan pihak yang
bernafsu untuk mempertahankan kuasa pentadbiran pusat dengan apa cara sekalipun
telah mededahkan politik negara
berhadapan dengan bahaya kacau-bilau yang sangat besar.
Gejala budaya politik yang sangat jijik
seperti politik fitnah, politik lucah, politik wang dan politik samseng sedang
ditaja untuk berhadapan dengan kesedaran rakyat untuk merubah kerajaan yang
sedia ada.
Gejala menyerang peribadi lawan dalam
kempen politik dengan fitnah seks bertujuan mengaib dan menjatuhkan maruah
individu yang disasar semakin menjadi-jadi.
Ini menunjukkan bahawa saranan Presiden pimpinan parti pemerintah dalam satu
perhimpunan tahunan bahawa "kita akan mempertahankan Putrajaya sehingga
titisan darah terakhir" sedang giat direncana dan dilaksanakan.
Rakyat harus mengistiharkan perang ke atas
politik seperti ini yang akan menghina maruah dan integriti politik negara
dimata dunia.
Kami mengesa semua pihak yang
melaksanakan kempen ketika PRU 13 ini tidak terjebak dengan politik kotor
sekaligus tidak membenarkan sebarang pihak menjadikan pilihanraya ini sebagai
pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah Malaysia.
Usaha maksima untuk
menjernihkan politik negara ini perlu dilancarkan oleh semua pihak.
3. Tanggungjawab media yang beretika.
Media massa yang turut memainkan
peranan menyebar dan mengembangkan
fitnah dan berkonspirasi menyerang peribadi musuh politik suatu dosa besar dan
adalah sangat terkutuk serta perlu dihentikan sertamerta.
Media samada bersifat media cetak,
elektronik atau internet yang bertindak jahat melaga-laga, megadu-domba dan
memburuk-burukan peribadi individu yang menjadi lawan politik dengan fitnah
seks adalah media yang haram disisi Islam dan perlu diambil tindakan tegas. Berdasarkan
Firman Allah S.W.T. dalam ayat 6, Surah al-Hujurat yang bermaksud:
“Wahai orang-orang
yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita,
maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan
sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu
(mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Sementara kebebasan media dan hak media
adalah suatu keperluan dalam amalan demokrasi yang sihat, akan tetapi media
perlu mengamalkan etika kewartawanan dan jurnalisme yang beradab, beretika dan
professional. Kewartawanan dan jurnalisme media murahan yang mengotorkan pilihanraya
dengan bahan fitnah, putar belit, provokasi, manipulasi berita adalah terkutuk
dan hendaklah dibentaras sehingga ke akar umbinya.
Tindakan secara undang-undang dan boikot
awam hendaklah dilancarkan terhadap media berkenaan. Peribadi pemilik dan
mereka yang bersekongkol dengan media tersebut perlu didedahkan sehingga rakyat
tahu siapa mereka.
Kami mengingatkan kepada pihak yang
menjadi dalang dan penaja kepada fitnah melalui media akan pasti berhadapan
dengan pertanggungjawaban mutlaq dari Allah S.W.T akhirnya. Firman Allah S.W.T.
dalam ayat 11, Surah al-Hujurat bermaksud:
“Wahai
orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh
dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari
kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain,
(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan
janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah
pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya
menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang)
sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
4. Hak rakyat
mengubah kerajaan
Kami menyarankan rakyat perlu melakukan
perubahan politik yang berani demi memastikan arah tuju negara mengwujudkan
rakyat yang bertanggungjawab dan negara yang bermaruah dapat direalisasikan.
Rakyat tidak boleh diugut dengan
kacau-bilau jika mereka memilih Pakatan Rakyat sebagai alternative, jika jelas
gabungan itu mampu menampilkan calon
yang benar-benar berwibawa, beriltizam dan jujur memperjuangkan nasib rakyat
serta memelihara maruah negara.
Politik sebagai suatu amanah untuk
memelihara agama dan menguruskan hal ehwal dunia berdasarkan agama hendaklah
menjadi panduan ketika pengundi dan melaksanakan tanggungjawab memilih calon
yang layak.
PRU 13 ini adalah genting untuk membawa
perubahan besar-besaran kepada masa depan negara kerana kepincangan selama lebih
55 tahun merdeka semakin mengakar dan kekal dalam gaya pemerintahan yang sedia
ada.
Kepimpinan yang mengkhianati amanah rakyat
sehingga ini perlu ditukar melalui peti undi dalam PRU 13 ini adalah saatnya
yang paling baik.
5. SPR dan semua
agensi bertanggungjawab menjamin pilihanraya yang bersih dan adil.
Kami berpendirian SPR memikul amanah besar
untuk menjamin PRU 13 berjalan dengan bersih dan adil. Respon SPR tidak
mengakui ada kepincangan dalam daftar mengundi, wujudnya Akta Pilihanraya yang
tidak demokratik dan menyekat pihak parti politik untuk mencabar kesahihan
daftar pengundi akan menghakiskan intergriti pilhanraya itu sendiri.
Agensi awam yang lain seperti agensi
keselamatan dan memastikan ia tidak diperalatkan untuk kempen politik hendaklah
dipelihara secara professional.
Tindakan terhadap amalan politik kotor
berdasarkan undang-undang hendaklah dikuatkasakan dengan adil dan telus.
Etika pilihanraya yang umumnya sesuai dan
secocok dengan Islam untuk menutup pintu penipuan dan manipulasi dalam
pilihanraya.
Firman dalam ayat 8, Surah al-Maidah
bermaksud:
“Wahai orang-orang
yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan
keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali
kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil
itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
6. Memilih calon yang layak
Wacana pada hari ini
menyarankan semua pengundi dalam PRU 13 ini menunaikan kewajipan memilih calon
dari parti yang akan menubuhkan kerajaan yang adil dan mengamalkan urustadbir
yang baik, telus dan bertanggungjawab kepada rakyat.
Tanggungjawab mengundi
hendaklah dilaksanakan dengan penuh keinsafan bahawa setiap undi yang diberi akan dipersoalkan
oleh Allah SW.T.
Memilih calon yang akan meneruskan kepincangan dan
penyelewengan dalam urustadbir negara akan membawa negara kepada kehancuran.
Bersikap berkecuali untuk tidak mengundi atau dengan sengaja merosakkan undi
juga akan mencelakakan negara. Perbuatan ini akhirnya akan memenangkan calon
yang tidak layak memimpin dan akan mengakibatkan kuasa berada ditangan mereka
yang akan mengkhianati amanah rakyat.
Kami menyarankan kriteria
Islam diguna sebagai asas dalam memilih calon yang layak menduduki dewan
perwakilan rakyat di negeri mahupun parlimen. Antara Kriterianya adalah seperti berikut;
- Beramanah
dan Jujur yang dibuktikan dengan amalan dan sikap berterusan.
- Kompentensi
(Kemahiran serta keilmuwan yang tinggi)
- Mempunyai
sifat sabar yang tinggi.
- Mengamalkan
akhlak dan peribadi yang baik
- Mengamalkan
Semangat Syura
Dalam kontek
Malaysia yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen pemilihan pemimpin ia
lebih merujuk kepada kepimpinan secara kolektif. Ia bermaksud memilih kumpulan atau gabungan
parti-parti politik yang lebih beriltizam dengan prinsip-prinsip al-Haq
(kebenaran), keadilan dan ketelusan terhadap Tuhan dan rakyat.
KENYATAAN
BERSAMA NGO ISLAM
- PUM
(WP), SHURA, TERAS, MAPIM dan PBSKN.